Fikir, Rasa, Tingkah dan Roh.

Refleksi, pemikiran dan rasa hati terhadap peristiwa yang berlaku... adakalanya peristiwa yang berlaku mencabar minda dan menyentuh rasa... itulah yang akan dikongsikan.

11 October, 2011

Kanak-kanak dan remaja (anak-anak kita) ketagih layari laman web

Berita terbaru yang kita baca;
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja di negara ini dilaporkan melayari internet pada purata 19 jam seminggu, sehingga menyebabkan mereka terdedah dengan pengalaman negatif menerusi penggunaan teknologi itu termasuk buli, penipuan identiti dan pornografi. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata situasi itu mewakili kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak atau sembilan daripada 10 daripada mereka berusia lima hingga 18 tahun di negara ini yang dilaporkan terdedah dengan gejala negatif dunia siber, sekali gus mampu mempengaruhi emosi mereka...
sumber: Berita Harian: Rabu, 12/10/2011

Berita ini sangat membimbangkan kita sebagai ibu bapa dan juga sebagai pemimpin yang akan menyerahkan masa depan negara kepada generasi baru ini. Apa yang boleh kita lakukan untuk menangani gejala yang amat tidak sihat ini. Ia perlu bermula dari setiap keluarga dari setiap rumah dan dari setiap pihak berkuasa yang menjaga lesen premis yang memberikan kemudahan pelayaran siber kepada masyarakat setempat.
1. Peranan Keluarga:
a. Ibu bapa perlu melihat ke dalam diri masing-masing. Sebagai model kepada anak-anak, diri sendiri perlu dididik dan dipupuk dengan nilai-nilai yang luhur. Perlakuan ibu bapa kunci kepada kesejahteraan keluarga. Ibu bapa yang tidak dapat menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak akan mengundang masalah perlakuan anak-anak di kemudian hari. Ibu bapa sendiri perlu dapat menilai perkara yang baik dan buruk yang terdapat di dalam alam siber.
b. Ibu bapa merupakan tonggak yang perlu mengawasi perlakuan anak masing-masing. Pemantauan dan pengawasan perlu dilaksanakan terhadap aktiviti anak-anak semasa mereka melayari atau bersembang melalui laman sosial. Ibu bapa perlu memberi penerangan dan kesedaran tentang batas-batas dan had semasa anak-anak meneroka alam maya ini.
c. Kedudukan komputer dan alat komunikasi yang lain seperti telefon bimbit perlulah sentiasa "within reach" atau mudah capai. Memang perlu ada ruang peribadi tetapi ruang peribadi perlu difahami dengan konsep amalan yang sihat. Anak-anak perlu memahami peraturan yang jelas yang perlu ada di dalam sesebuah rumah. Anak perlu memahami bahawa peraturan ini bukan menyekat kebebasan tetapi ia lebih memberi ruang kesejahteraan mental dan emosi setiap ahli di dalam keluarga.
2. Peranan Kerajaan Tempatan
a. Pengawasan perlu mantap dari pihak berkuasa yang mentadbir sesebuah daerah. Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan. Pemantauan berkala kepada premis-premis yang mengendalikan kafe siber perlu dilakukan. Tindakan tegas perlu dilakukan terhadap premis yang melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
b. Pemilik premis siber kafe perlu memahami undang-undang yang sedia ada. Mereka juga perlu faham tentang peranan yang perlu dimainkan demi kesejahteraan klien sebagai warga negara yang produktif. Keuntungan tidak hanya dinilai dari aspek wang ringgit tetapi ia juga perlu dilihat dari pulangan modal insan yang akan menguntungkan semua pihak.

Sebagai rumusan, jika semuanya dapat memainkan peranan masing-masing dan dapat bertanggungjawab terhadap apa yang mereka diberi tanggungjawab banyak masalah dapat ditangani dan diselesaikan. Selagi tidak ada kesedaran ini dari ibu bapa, pihak berkuasa dan mereka yang bertanggungjawab maka selagi itulah anak-anak kita generasi muda Malaysia akan terdedah dengan amalan yang negatif yang bukan sahaja akan merosakkan dan menghilangkan jati diri mereka malah mereka juga akan kehilangan negara tercinta ini.

No comments: