Fikir, Rasa, Tingkah dan Roh.

Refleksi, pemikiran dan rasa hati terhadap peristiwa yang berlaku... adakalanya peristiwa yang berlaku mencabar minda dan menyentuh rasa... itulah yang akan dikongsikan.

22 December, 2011

Tahniah Bagi Pelajar Yang Telah Mendapat Keputusan PMR 2011

Berbagai warna wajah kelihatan di perkarangan seluruh sekolah semalam. Wajah ceria, gembira, duka, keliru dan seumpamanya terlihat pada wajah pelajar yang telah mengaut hasil tuaian semenjak dari tingkatan satu lagi. Bagai pelajar yang mendapat 8A saya mengucapkan setinggi tahniah dan syabas. Keringat dan usaha anda tidak sia-sia. Bagi mereka yang tidak mendapat 8A, saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kerana anda juga telah berusaha dengan gigih tetapi mungkin usaha anda tidak sampai ke tahap yang optima. Peperiksaan yang besar masih menunggu di depan anda. Kini anda perlu pula mengorak langkah dan memasang strategi terbaik untuk mengekalkan hasil yang baik dan memperbaiki kelemahan masa lalu. Selamat belajar dan berjaya. Mereka yang berjaya adalah mereka yang gagal dan berani bangkit semula untuk mengatasi kelemahan yang ada.

12 December, 2011

Percutian Yang Menghampakan

Destinasi percutian kali ini ialah ke arah selatan tanah air. Johor Baharu tempat saya dilahirkan. Walaupun saya selalu ke JB menjalankan tugas rasmi, namun kali ini tujuannya berlainan iaitu bercuti membawa ahli keluarga untuk menikmati keindahan semulajadi tempat peranginan di Johor. Namun sangat mengecewakan kerana dua tempat yang menjadi tumpuan percutian saya tidak seindah yang diharapkan. Air terjun kota tinggi tidak diurus dengan baik oleh pihak pengurusan yang telah diswastakan. Bayaran masuk terlalu tinggi dan kemudahan tidak disediakan dengan baik. Kebersihan tidak dijaga dan infrastruktur sangat daif. Musolla sangat kotor dan bilik air di musolla tidak ada air langsung. Kami sekeluarga kecewa, sehinggakan anak-anak tidak mahu turun dari kereta. Kami terus ke Desaru untuk menikmati keindahan laut desaru pula, tetapi malang sekali pantainya telah dipenuhi dengan hotel yang melindungi pantai. 30 tahun lalu keindahan pantai terserlah dari jauh tetapi kini sepanjang perjalanan saya melalui jalan pantai dipenuhi dengan pemandangan bangunan-bangunan hotel dan tapak-tapak pembinaan di kawasan pantai. Terfikir oleh saya 10 tahun lagi Desaru akan menjadi tempat pelancongan yang tidak akan didatangi lagi oleh orang ramai. Kami sekeluarga kecewa lagi. Kami hilang punca hendak ke mana, oleh kerana perut telah terasa lapar maka kami terus ke Danga Bay untuk makan tengahri. Di Danga Bay sekali lagi kami terperanjat kerana DangaBay juga sekarang ini telah dimusnahkan sebahagian keindahannya. Model rumah2 Melayu dan gerai membeli belah telah tiada lagi...tidak tahulah apakah yang akan dibangunkan di situ. Saya harap pembangunan seterusnya tidak akan merosakkan alam semula jadi Teluk danga yang merupakan tempat orang JB menghirup udara segar laut Lido ..... Selepas menjamah Mee Rebus haji Wahid di Plaza Angsana kamipun terus ke Melaka untuk menghabiskan percutian kami selama 3 hari di sana. Kami menginap di Pengkalan Balak Masjid Tanah dan kami merasakan bahawa pantai Melaka dapat memberi kedamaian dan mengubat kekecewaan akibat kerakusan pembangunan yang berlaku di tempat peranginan Johor. Harap orang Johor jangan marah kerana saya juga orang Johor cuma yang saya sesalkan tidak ada bijak bestari dan perancang ekonomi yang di Johor yang dapat mengekal atau meningkatkan keindahan tempat peranginan di Johor.